Monday, December 6, 2010

PENGERTIAN HIJRAH

Mungkin kita memahami pengertian hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Kefahaman bahawa hijrah Rasulullah s.a.w itu hanyalah semata-mata untuk memperolehi kesenangan dan mengelakkan penderitaan, adalah tidak ubah seperti pendapat orientalis Barat.

Antara dakwaan mereka ialah hijrah itu berlaku disebabkan Rasulullah s.a.w tidak lagi popular di kalangan masyarakat Arab Mekah. Maka sebab itulah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah bertujuan untuk mencari peminat. Konsep hijrah seperti itu mungkin benar bagi orang yang ingin mencari jaminan hidup berupa kebendaan yang lebih baik.

Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi.

Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'.

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Pertolongan Allah s.w.t akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :

'Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu'.

Allah s.w.t membekalkan kita dengan cukup kelengkapan untuk menjadi manusia yang boleh berdikari dan berikhtiar dalam menentukan arah kehidupan. Kita dibekalkan dengan peralatan yang membolehkan kita memasuki dan merubah segala apa yang ada di sekeliling kita dan juga apa yang ada di dalam minda (pemikiran, persepsi, kesedaran dan emosi).

Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.

Sumber : http://www.islam.gov.my

No comments:

Post a Comment